Kamis, 24 Juli 2008

SIJIL NIKAH CERAI DALAM 24 JAM



Jakim arah Jabatan Agama atasi kelewatan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengarahkan semua Jabatan Agama Islam negeri menyelesaikan proses kebenaran nikah, kahwin dan pendaftaran kes perceraian dalam tempoh 24 jam selaras piagam pelanggan yang dipersetujui Persidangan Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Malaysia ke-77 kelmarin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata antara lain Jabatan Agama Islam negeri perlu mengeluarkan sijil kursus praperkahwinan kepada pasangan bakal pengantin sebaik tamat kursus untuk membolehkan mereka bernikah pada hari sama.

Katanya, pasangan yang lafaz cerai sudah disahkan Mahkamah Syariah pula perlu diberikan surat pengesahan pembubaran perkahwinan serta-merta oleh Pejabat Pendaftaran Nikah, Kahwin dan Cerai pada hari sama.

"Kajian Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid, Jakim, mendapati tempoh proses kebenaran nikah, kahwin dan daftar cerai berbeza mengikut negeri mendatangkan banyak masalah kepada orang ramai," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Wan Mohamad berkata, kelewatan sepatutnya tidak berlaku kerana proses kebenaran berkahwin adalah mudah jika pemohon atau bakal pengantin memenuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, kelewatan biasanya berlaku apabila pemohon gagal menyediakan dokumen untuk pengesahan.

"Sekiranya, pemohon memenuhi segala keperluan dan pihak pendaftar berpuas hati tiada sebab kebenaran berkahwin lewat diperoleh walaupun pasangan berkahwin di negeri atau negara lain," katanya.

Oleh Haika Khazi:bhnews@bharian.com.my